Fikir

BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA
Video Pasif Affiliate

Isnin, 21 Mac 2011

POLITIK DUIT MELATIH RAKYAT MENIPU DIRI

Sebenarnya permainan wang dalam masa kempen pilihanraya bukanlah luar biasa. Di mana-mana, bila pilihanraya ala-demokrasi Barat diamalkan, wang memainkan peranan penting. Tetapi kalau sudah ketertelaluan, pada akhirnya tujuan sebenarnya tidak akan tercapai lagi. Kerana siapa yang menang, yang dipilih oleh rakyat, ialah siapa yamg paling banyak menaburkan wang. Bukan siapa yang baik, yang jujur dan yang sanggup memperjuangkan kehendak rakyat dan kepentingan negara.

Tetapi implikasinya lebih jauh dari itu: rakyat yang baru belajar menggunakan hak politiknya, yang baru belajar berdemokrasi, sudah diajar untuk menipu. Menipu diri sendiri !

Lebih jauh lagi, rakyat akhirnya menjadi pengundi-pengundi yang tak bertanggungjawab. Rakyat, terutamanya pemimpin-pemimpin 
kecil termasuk ketoloi-ketoloi lokal tidak lagi berusaha menggunakan haknya untuk kepentingan kehidupan masa depan, tetapi hanya untuk kemewahan dan kemenangan sementara. Maka akhirnya, demokrasi yang akan tumbuh di negara kita ini bukanlah lagi demokrasi yang sihat. Kerana pengundi yang tak bertanggungjawab akan melahirkan pemimpin yang juga tak bertanggungjawab. Apabila ini terjadi, lahirlah suatu masyarakat dimana orang tidak tidak lagi menggunakan hak politiknya untuk membina suatu kehidupan politik dan pemerintahan sihat.

Parti-parti politik juga, kalau tidak banyak wang, tidak dapat berfungsi dengan baik.Wakil-wakil Rakyat yang mendapat elaun juga merasa hidupnya makin sulit, kerana penggundi yang sudah dijamu semasa kempen, meminta dijamu terus. Segala-galanya mesti ada duit, segala-galanya mesti diberi duit. Untuk kegiatan sukan, keagamaan, pertemuan, jamuan, mesyuarat kecil dan besar, malah kematian semuanya meminta wang.

Maka makin banyaklah Wakil Rakyat yang terpaksa korup. Atau makin banyaklah hilang pemimpin rakyat yang baik tetapi miskin. Dan makin hari, pemimpin atau bakal pemimpin yang baik tetapi miskin, tidak akan berani masuk politik, kecuali setengah orang yang masih excited nak jadi politician, atau yang boleh menjadikan politik sebagai jambatan kekayaan.

Memang, hal seperti ini tak dapat dielakkan. Politik tidak selamanya dapat ditegakkan diatas semangat kebangsaan.Rakyat tak selamanya dapat diajak mengambil bahagian secara aktif dalam politik hanya dengan mengobar-ngobarkan semangat. Makin lama orang makin lupa pada perjuangan kebangsaan. Dan makin lama politik kebangsaan akan berubah menjadi politik kekuasaan. 

Dan politik kekuasaan adalah politik orang-orang atau parti-parti yang kaya raya. Dan bila sampai ke tingkat ini, peranan wang tak dapat dielakkan. Namun kalau penggunaan wang sudah keterlaluan, seperti yang sudah mulai berlaku sekarang, akibatnya buruk untuk rakyat dan untuk pertumbuhan partisipasi politik sihat.

Pengalaman kita semasa memulakan gerakan pembangunan seharusnya menjadi pengajaran. Kerana terlalu banyak membina masjid dan balai raya, terlalu banyak memberikan tanah merah, dan kerana rakyat terlalu sangat disuap dan disuap, akhirnya rakyat menjadi manusia minta-minta. Demikian jika terus mengamalkan politik duit. Akhirnya rakyat mengambil bahagian dalam politik kerana wang, bukan kerana tugas dan haknya sebagai seorang rakyat.

..mei 1973 oleh noor azam (Mohd. Noor bin Yusof)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...