Fikir

BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA
Video Pasif Affiliate

Sabtu, 22 Oktober 2011

DONGENG KAUM TASAWUF MENDEWAKAN RAJA (1)

Sudah menjadi adat dan dongeng turun-menurun di negeri-negeri Timur, bahawasanya raja adalah suci, baginda adalah keturunan dewa. Beliau tidak sama dengan manusia kebanyakan ini. Dengan jalan demikian maka perintah, atau titah yang baginda turunkan kepda rakyatnya, hendaklah dipandang suci dan tidak boleh dibantah.


Kepercayaan ini merata di mana-mana di negeri Timur. Di zaman masih dikongkong oleh animisme, kepercayaan kepada kekuasaan ghaib roh nenek moyang, raja pun dipandang sebagai dukun besar, yang sanggup mengatur hubungan antara rakyat di alam kenyataan, dengan roh nenek moyang di alam keinderaan.


Dengan demikian maka orang Bugis menganut kepercayaan, bahawasnya raja mereka yang suci " Sawirigading " adalah keturunan Batara Guru, yang turun ke dunia dari dalam rumpun buluh-kuning. Demikian pula orang Minangkabau membuat sejarah rajanya Sutan Rumandung dan Bunda Kandung. Bangsanya baginda adalah keturunan Anak Indra Jati, dan kemudiannya baginda pun tidaklah mati, hanya naik ke "langit " dengan menaiki perahu Nabi Nuh!


Setelah agama Hindu tersebar di tanahair kita, jelaslah di nyatakan bahawasanya Raja adalah titisan daripada Dewa. Airlangga dipandang sebagai titisan daripada Dewa Wishnu. Kartanegara setelah melihat bahawa dalam negerinya ada dua agama, iaitu agama Syiwa dan agama Buddha, lalu " membuat " ideologi dari kerajaannnya, bersandar kepada paduan "Syiwa-Buddha". Dan raja adalah titisan daripada dewa-dewa persembahan itu. Kemudian Kerajaan Tumapel dan Singasari redup dan naik Kerajaan Majapahit. Di zaman Majapahit lebih dipererat "Tuah" Raja tadi. Bahawa raja bukanlah insan biasa, tetapi keturunan dari Kayangan, titisan daripada Arjuna dan Abimanyu.


Dengan mempertinggi "tuah" raja, sangguplah rakyat di perintah. Sehingga menentang mata raja saja sudah tidak boleh apatah lagi akan duduk berhadapan dengan baginda. Di hadapan istana diadakan "Seba", iaitu tempat duduk berhenti menunggu keizinan masuk ke dalam puri istana, buat menjujung duli, sehingga sebelum masuk saja pun diri sudah rasa tertekan oleh kebesaran baginda.  "Tuah" Majapahit inilah yang dipergunakan oleh Gajah Mada buat menaklukkan seluruh Indonesia.


Sebagaimana diketahui, sebelum Islam masuk ke Tanah Jawa, terlebih dahulu Kerajaan Islam telah berdiri di Pasai. Betapa akan menyesuaikan kepercayaan Islam yang memandang bahawa manusia tidaklah keturunan dewa, hanya keturunan Adam, dengan memelihara "tuah" raja ?


Pasai mencatat sejarah yang sederhana saja. Merah Silu  Raja Pasai yang mula-mula masuk Islam dan bergelar al-Malikush Salih, tidaklah sempat didewakan. Tersebut saja dalam "Sejarah Melayu" bahawasanya Merah Silu itu hanyalah seorang nelayan pengail ikan di laut Aceh ! Dan pencatat sejarah yang kemudian mencuba-cuba membuat supaya raja-raja Pasai itu di "dewa"kan pula. Lalu dicatat bahawasanya Raja Islam Aceh yang mula-mula itu bertemu didalam hutan belantara sedang dipelihara oleh seekor gajah !


Demikianlah tersebut dalam catatan sejarah "Raja-raja Pasai'. Oleh sebab itu percubaan men-dewa-kan Raja-raja Pasai adalah kurang berhasil. Bagaimana dengan keturunan Raja-raja Melayu Melaka ? Kerajaan Melayu Islam di Melaka telah berdiri pada awal kurun ke-13, iaitu kira-kira pada tahun 1400. Tersebutlah perkataan bahawasanya Raja-raja Melayu Melaka itu berasal dari Singapura (Temasik), dan Raja-raja Melayu Hindu Temasik itu berasal dari Palembang, dari Bukit Seguntang Mahameru !


Raja mesti di-tuah-kan. Padahal dalam pelajaran agama Islam tidak ada kepercayaan yang demikian. Padahal sisa zaman Jahiliah belumlah hapus sama sekali. "Tuah" Raja mesti ditegakkan supaya rakyat dapat diatur dan diperintah, taat, patuh dan setia. Apa akal ?


Syukurlah ! Mereka tidak kekurangan bahan dari Islam sendiri untuk memberi "Tuah" pada raja. Pelajaran tasawuf telah masuk bersama masuknya pelajaran Fikah dan lain-lain. Dalam buku-buku kaum sufi nampaknya ada bahan-bahan yang dapat memberi "tuah" pada raja. Apakah pelajaran Shufiyah yang seperti demikian benar-benar mempunyai sumber yang dapat dipertanggungjawabkan menurut ajaran  asli agama Islam, itu bukanlah soal !


Satu diantaranya yang terpenting, tersebut dalam beberapa buah tasawuf itu bahawasanya Nabi Khidhir masih hidup , dan baru akan mati setelah hari akan kiamat. Nabi Khidhir adalah seorang Nabi yang besar dan merangkap menjadi Wali Quthub.Wali Quthub itu tujuh orang banyaknya. Mereka diwakilkan Tuhan buat mengatur dunia ini. Setiap malam mereka mengadakan "inspeksi" pada seluruh dunia  menyelidiki penderitaan umat manusia. Sehabis "komisi" itu mereka pun mengadakan "conferensi" (rapat) membicarakan dan melaporkan penglihatan masing-masing. Dan Nabi Khidhir bergelar pula "Mudawd Kalum", ertinya yang mengubat luka hati manusia !


Dalam setengah tafsir ahli tasawuf pula, adalah Nabi Khidhir itu menjadi wazir daripada Sultan Iskandar Zulkarnain. Dan Sultan Iskandar Zulkarnain itu pun telah pernah masuk ke dalam laut di dalam usahanya mencari tempat terbit Matahari. Dan tersebut pula dalam sejarah yang benar dari Iskandar Zulkarnain bahawa baginda pernah datang ke Benua Hindi. Di dalam sejarah yang sebenarnya, Iskandar Zulkarnain telah mengalahkan Darus Maharaja Persia dan telah turun melalui pergunungan Indus, terus masuk ke dataran Hindi dan sampai ke tepi sungai Gangga. Dan dalam sejarah yang sebenarnya tersebut pula bahawa beliau anak Raja Macedonia, putera dari Philifus, dan dari murid Aristotle.


Maka masuklah ajaran tasawuf ke Indonesia dan tersebarlah kitab-kitab karangan Ibnu Arabi dan karangan Abdul Karim Jailany (keturunan Abdul Kadir Jailany). Penuhlah kitab-kitab mereka itu dengan khayalan-khayalan tentang Nabi Khidhir dan Iskandar Zulkarnai itu. Apatah lagi tempat kisah kedua peribadi itu berdekat dalam al-Quran, berturut-turut dikisahkan di dalam Surah al-Khafi.


Maka mudahlah bagi yang hendak mengkhayalkan menyusun ceritera bahawasanya Nabi Khidhir itu adalah Wazir Besar dari Sultan Zulkarnain. Dikatakanlah bahawasanya Iskandar Zulkarnain itu adalah Nabi Allah juga. Tetapi didalam al-Quran sendiri tidaklah sepatah jua pun menyebut nama Khidhir. Ynag disebut hanyalah seorang hamba Kami yang saluh.


Tidak pula disebut Iskandar. Yang disebut hanyalah ZulQarnain. Oleh sebab itu adalah juga ahli tafsir yang tidak mahu memastikan bahawa hamba Kami yang salih itu adalah Khidhir. Dan ada juga ahli tafsir yang tidak mahu menjelaskan "ZulQarnain"(Yang empunya dua tanduk) itu adalah Iskandar anak raja Macedonia(Yunani) yang sudah terang tidak memeluk agama Tauhid. Bahkan gurunya bukanlah seorang Nabi, melainkan ahli falsafah Yunani yang terkenal, Aristotle murid Plato.


Padahal penyusun dongeng "Sejarah Melayu" tidaklah mahu melepaskan kesempatan mengambil fantasi daripada tafsiran dan khayal orang sufi itu untuk men"dewa"kan Raja-raja Melayu. "Alkisah", maka tersebutlah perkataan bahawasanya Raja Iskandar Zulkarnain datang dari Macedonia ke negeri Hindi, lalu berperang dengan Raja Kida Hindi. Dalam peperangan yang sangat dahsyat hebat itu kalahlah tentera Raja Kida Hindi. Tetapi meskipun raja itu kalah, tidaklah dia dihinakan oleh Sultan Iskandar dan kasih sayanglah Raja Kida Hindi kepadanya.


Akhirnya dikahwinkanlah Raja Iskandar itu dengan puterinya yang sangat cantik bernama Puteri Syahrul Bariyah. Yang menjadi Kadinya ialah Nabi Khidhir sendiri. Setelah bergaul dengan isterinya itu beberapa bulan saja, Raja Iskandar pun pulanglah ke negerinya, dan isteri itu ditinggalkannya dengan ayahnya Raja Kida Hindi.


Kemudian barulah diketahui bahawa puteri itu dalam hamil, ketika ditinggalkannya oleh Raja Iskandar. Setelah genap bulannya lahirlah seorang anak laki-laki lalu diberi nama oleh nenekandanya dengan Aristun Syah. Setelah Raja Kida Hindi mangkat, maka cucunya dan turun-temurunlah menjadi raja, sampai kepada seorang cucunya bernama Raja Suran, Raja di negeri Keling. Dan salah seorang daripada keturunan itu berkahwin dengan puteri dari Nusyirwan Adil.


Lalu dikisahkan pulalah perjalanan Raja Suran keturunan Aristun Syah, keturunan Iskandar zulkarnain itu. Bahawasanya dia adalah Raja Benua Keling Ynag gagah perkasa, membawa tenteranya yang sangat besar jumlahnya.


Rupa rakyat seperti laut tatkala pasang penuh, rupa gajah dan kuda seperti pulau, rupa tunggal panji-panji seperti hutan, rupa senjata berlapis-lapis, rupa cemara tombak seperti bunga lalang... maka kelihatanlah rakyat Raja Suran seperti hutan rupanya.


Yang jadi tujuannya ialah mengalahkan negeri China. Tetapi ditengah perjalanan telah dikalahkannya negeri Siam dan beberapa negeri yang lain.


Lalu diceritakan pula bahawa Raja Suran itu masuk ke dalam laut dengan sebuah keranda kaca. Di dalam laut berjumpalah dia dengan raja buat seluruh lautan. Itulah Raja Aftabul Ardh ! Tiga tahun lamanya baginda tinggal di dalam dasar laut, sampai berkahwin dengan puteri Raja Aftabul Ardh, iaitu Tuan Puteri Mahtabu 'I Bahr. Sampai dia beranak tiga orang dengan puteri itu. Setelah genap tiga tahun  baginda dalam laut, dan telah beroleh putera tiga orang, baginda pun kembali ke atas dunia kita ini dengan mengenderai seekor kuda semberani dan berjumpa kembali dengan rakyatnya. Dengan puteri orang dunia beliau beranak pula tiga orang laki-laki, dan seorang perempuan.


Yang perempuan Tuan Puteri Candani Wasis dipinang oleh Raja Hiran dikahwinkan dengan Puteranya. Dan ketiga anak laki-laki itu ialah Paldu Tani. Dia ini dirajakan oleh ayahnya di negeri Andam Negara, yang seorang lagi Nila Manan dirajakan di negeri Bija Negara dan yang paling tua bernama Bicitram Syah dirajakan di negeri Candu Kani.


Tetapi oleh kerana Bicitram Syah merasa  bahawa dialah putera yang tua, sedang negeri yang diserahkan ayahnya kepadanya hanyalah sebuah negeri kecil, sedihlah  hati baginda, lalu baginda membawa diri meninggalkan kampung halaman dengan 20 buah kapal. Tetapi oleh kerana angin ribut terlalu besar, cerai berailah kapal itu, ada yang ansur berbalik pulang, dan ada yang tenggelam di laut, sampai tidak ada khabar beritanya lagi.


Beberapa masa kemudian, adalah di negeri Palembang dua orang perempuan berhuma di atas Bukit Seguntang Mahameru. Tiba-tiba pada suatu malam mereka melihat padi yang mereka tanam di puncak bukit itu telah terang benderang laksana api, sehingga timbullah cemas mereka. Pagi-pagi setelah mereka bangun tidur, pergilah mereka segera mendaki bukit itu hendak melihat  perhumaan mereka yang terang semalam itu. Maka kelihatanlah suatu hal yang amat ajaib. Buah padi mereka tadi telah menjadi emas, batangnya menjadi suasa tembaga dan daunnya menjadi perak belaka.


Disana mereka dapati tiga orang. Seorang diantaranya memakai pakaian kerajaan dan kepalanya memakai mahkota dan mengenderai seekor lembu. Lalu mereka bertanya siapakah mereka. Maka mereka pun memberitahu diri, bahawasanya mereka adalah keturunanan Sultan Iskandar Zulkarnain, nasab dari Nusyirwan Adil Raja Masyrik dan Maghrib, dan pancar dari Sulaiman 'Alaihissalam. Nama yang mengenderai lembu itu ialah Bicitram Syah , dan yang seorang lagi bernama Nila Utama, dan seorang lagi bernama Karna Pandita! Dan mahkota yang dipakai oleh Bicitram Syah di kepalanya itulah alamat bahawa baginda keturunan Iskandar Zulkarnain.


Tiba-tiba lembu yang dikenderai baginda itupun memuntahkan buih. Dari buih itu keluarlah seorang manusia laki-laki dinamai Bat dan destarnya terlalu besar. Lalu dia pun berdatang sembah kepada Bicitram Syah dan memanggilkan gelaran kerajaannya, iaitu Sang Suparba Taramberi Tribuana!


Maka sampailah berita itu kepada Demang Lebar Daun, raja yang asal dari negeri Palembang. Akhirnya dikahwinkannyalah Sang Suparba itu, dengan puterinya Wan Sedari, dan di akuilah Sang Suparba sebagai Raja dalam negeri Melayu.


Beberapa lama kemudian, Sang Suparba pun meneruskan perjalanannya menjuju Bintan. Di tengah perjalanan dia singgah di Teluk Sapat Kuantan. Di sana bertemu dengan orang Minangkabau. Lalu dia diakui pula menjadi Raja di Minangkabau, sebab dapat membunuh ular  Sakti Muna ( si kati Muna). Diteruskannya perjalannannya lanjut ke Bintan. Di sana bertemu raja perempuan di Bintan Permaisuri Iskandar Syah dan berkahwin dengan puterinya. Dari sana diteruskannya perjalanannya ke Temasik.


Oleh sebab kelihatan seekor singa di tengah padang, lalu Temasik diberi nama Singapura. Di sanalah baginda mendirikan negeri besar! Anaknya dua orang, iaitu Raja Kecil Besar dan Raja Kecil Muda. Dari keturunan-keturunan inilah yang kelak kemudian merajai Negeri Melaka. Sebab itu maka keturunan raja-raja Melayu adalah dari Sultan Iskandar Zulkarnain yang anak cucunya turun diatas Bukit Seguntang Mahameru!


Demikianlah susunannya ceriteranya. Yang sudah terang bahawa ceritera atau dongeng ini tidak dapat dipertanggungjawabkan dengan sejarah. Nanti akan kita kupas betapa pengaruh pelajaran tasawuf didalamnya.

-Tarekat, Sufi & Tasawuf Adalah Firqah² Sesat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...